Pendidikan yang adil dan saksama harus diberikan penekanan kepada keperluan setiap murid di dalam bilik darjah. Semua guru perlu merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkualiti untuk mengembangkan potensi serta meningkatkan pencapaian setiap individu murid pada tahap maksimum. Oleh itu, guru harus peka dengan kepelbagaian gaya pembelajaran murid yang menuntut pendekatan pengajaran berbeza bukan lagi dengan gaya “one-size-fits-all”. Pedagogi terbeza merupakan salah satu pendekatan PdP bagi guru mengaplikasikan satu bentuk pengajaran yang dapat melengkapi keperluan murid yang pelbagai. Pendekatan pedagogi terbeza ini melibatkan perancangan, persediaan dan penyampaian pengajaran untuk disesuaikan dengan keupayaan murid yang pelbagai di dalam bilik darjah.